Categories
Community Lifestyle Malaysia Malaysian

COVID-19 batas pergerakan, lebih masa bersama keluarga

Tempoh bacaan: 4 minit

Penularan virus COVID-19 semakin membimbangkan malah telah diisytihar ke tahap pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagi mengekang dan memerangi virus berkenaan, semua negara di minta untuk mengambil tindakan segera dan agresif dan ia tidak terkecuali kepada negara kita, Malaysia.

Kawalan pergerakan

Bagi membendung penularan COVID-19, kerajaan telah mengarahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 sehingga 31 Mac 2020 yang antaranya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara.

Selain sekatan perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara serta penutupan semua sekolah kerajaan dan swasta.

COVID
Photo by Two Dreamers from Pexels

Cuti sekolah

Di Malaysia, penularan COVID-19 turut menjejaskan perancangan musim cuti sekolah setiap ibu bapa bersama anak-anak yang bermula 14 Mac lalu.

Ada yang sudah menempah hotel, tiket penerbangan, semuanya perlu dibatalkan demi mengikut nasihat pihak berwajib.

Tidak setakat itu, banyak tempat tumpuan pelancong dan orang ramai ketika ini juga mengambil keputusan untuk menutup sementara operasi mereka.

Di ibu negara, Kuala Lumpur, antara tempat yang biasanya menjadi tumpuan semasa cuti sekolah iaitu Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara juga ditutup untuk orang awam.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan juga telah mengeluarkan arahan untuk menutup sementara fasiliti awam di bawah kendalian jabatan dan agensi kementerian berkenaan.

Antara yang terlibat ialah Muzium Negara, Balai Seni Negara, Kompleks Kraf dan Perpustakaan Negara.

Buat apa di rumah?

Oleh itu, langkah yang terbaik bagi menghadapi keadaan seperti ini adalah untuk berada di dalam rumah.

Betul, anak-anak akan sering mengadu bosan, hanya terperap di dalam rumah.

Jadi apa aktiviti menarik yang boleh kita dilakukan bersama anak-anak? Di sini kami berikan lima aktiviti yang boleh dijalankan hanya di rumah, anak-anak tentu seronok malah hubungan kekeluargaan juga bertambah erat.

Memasak bersama

Kesibukan kerja seharian kadangkala menyebabkan ibu bapa jarang memasak di rumah, beli sahaja lebih mudah.

Waktu yang ada pada hujung minggu juga selalunya kita tidak lekat di rumah, jadi masa yang ketika ini apa salahnya kita luangkan masa dengan memasak.

Photo by mentatdgt from Pexels

Lebih menarik, kita lakukannya bersama anak-anak. Resipi yang ringkas juga sudah memadai, dapatkan daripada Google sahaja.

Minta anak-anak pilih, apa yang mahu di masak, beri peluang mereka letakkan bahan-bahan perencah, menggoreng dan sebagainya.

Sedap atau tidak, belakang kira, tetapi momen masak bersama itu kekal selamanya.

Bersihkan rumah

Tugas mengemas rumah, membersihkan habuk-habuk, mencuci lantai di rumah jika dilakukan sendirian memang memenatkan namun jika ia dilakukan bersama-sama, tentu lebih seronok.

Cuba libatkan bersama dengan anak-anak, agihkan tugas masing-masing, ajarkan mereka erti tanggungjawab.

Photo by Gustavo Fring from Pexels

Selain dapat mengajar mereka tentang kepentingan kebersihan, tugas membersihkan rumah juga lebih pantas dapat disiapkan.

Kenderaan anda sudah lama tak dibersihkan? asyik hantar kedai sahaja? cuba kali ni basuh sendiri di rumah.

Ajak sekali anak-anak, mereka memang gemar bermain dengan air dan sabun, mereka pantang diajak dalam hal-hal begini.

Tonton filem dan TV

Siaran televisyen bukan macam dahulu lagi, ditambah dengan saluran berbayar, banyak masa anda boleh diisi dengan hanya berada di hadapan televisyen.

Tontonlah filem bersama anak-anak anda, sebaiknya pilihlah filem yang mempunyai banyak pengajaran.

COVID
Photo by Lisa Fotios from Pexels

Kadangkala layankan anak-anak anda untuk menonton kartun kegemaran, cuba kenali setiap watak-watak kartun berkenaan, jadikan ia topik perbualan anda selepas itu.

Menonton dokumentari juga menarik untuk dilakukan bersama, banyak ilmu yang boleh dipelajari bersama anak-anak.

Baca buku bersama

Minat membaca harus dipupuk sejak awal lagi, jadi gunakanlah waktu yang ada ni dengan meluangkan masa dengan membaca bersama mereka.

Jika anak anda masih kecil dan belum tahu membaca, pilihlah lah buku bergambar, anda bacalah juga dengan penuh gaya dan pelbagai intonasi.

COVID
Photo by Lina Kivaka from Pexels

Jadikan penceritaan anda itu lebih menarik dan daripada situ anak anda akan ternanti-nanti untuk cerita di dalam buku seterusnya.

Belilah surat khabar. Galakkan anak anda untuk membaca surat khabar, di samping dapat meningkat tahap penguasaan bahasa dan tatabahasa, tentunya anak anda dapat menguasai pengetahuan awam selain mengetahui isu-isu terkini.

Mereka juga boleh mendapatkan maklumat yang sahih berhubung pandemik COVID-19.

Berkebun

Ajarlah anak anda menanam pokok dan berkebun. Tidak kira sama ada sayur-sayuran ataupun tumbuhan hiasan seperti pokok bunga.

Bermula dengan meletakkan pasir, tanah di dalam pasu, seterusnya biji benih dan kemudiannya menyiramnya dengan air. Aktiviti memang sesuai dilakukan bersama.

COVID
Photo by Maggie My Photo Album from Pexels

Tanamlah tumbuhan yang lekas tumbuh, setiap perkembangan pokok berkenaan akan terus menarik minat anak-anak.

Aktiviti ini walaupun memerlukan anak anda sedikit ‘kotor’ tetapi ia amat menyeronokkan. Ia sedikit sebanyak mengajar anda untuk lebih menyayangi alam sekitar.

Erat hubungan kekeluargaan

Duduk di rumah tidak sepatutnya membataskan aktiviti anda dan anak-anak.

Jangan hanya membiarkan anak anda terlalu asyik dengan gajet semasa di rumah.

Gunakan situasi semasa ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia pada hari ini untuk kita saling eratkan hubungan kekeluargaan. – RED ANGPOW

Artikel ini ditulis oleh Badrul Hafizan Mat Isa dan disunting oleh Hussaini Amran.

Artikel-artikel lain:

Gotong-royong lebih syok bila 5 spesies ini ada

Wilayah Persekutuan harus lebih mesra masyarakat bandar