Categories
Community Lifestyle Malaysia Malaysian Urban

Sejuk mata memandang di Taman Botani Putrajaya

Tempoh bacaan: 3 minit

Taman Botani Putrajaya merupakan salah satu lokasi yang menarik untuk dikunjungi di pusat pentadbiran Malaysia itu.

Pemandangan taman hijau dengan landskap yang menarik serta tasik yang menenangkan memang bertepatan dengan gelaran Putrajaya sebagai bandar dalam taman.

Tidak hanya dikunjungi penduduk setempat, taman yang terbesar di Malaysia itu turut menjadi pilihan orang ramai yang tinggal di kawasan berhampiran seperti Kuala Lumpur dan Bangi.

Malah, ada pengunjung yang sanggup datang dari Seremban semata-mata kerana ingin meluangkan masa bersama keluarga di taman berkenaan.

Dalam kalangan penggemar aktiviti beriadah, joging, berbasikal mahupun yang gemar mengambil gambar, taman yang terletak di Presint 1 itu sentiasa menjadi pilihan mereka.

Taman Etnobotani, Taman Botani Putrajaya

Jomm!! #tamanbotaniputrajaya #perbadananputrajaya #etnobotani

Posted by Taman Botani Putrajaya on Wednesday, April 26, 2017

Terlalu banyak tarikan di sini sehingga menjadikan Taman Botani Putrajaya lokasi tumpuan orang ramai pada cuti hujung minggu.

Kehadiran pengunjung tetap menggalakkan sehingga ke lewat petang termasuk pada hari bekerja.

Namun, mungkin tidak ramai yang tahu taman botani yang dibuka sejak 2001 ini bukanlah semata-mata untuk tujuan rekreasi atau riadah.

Gambar: Facebook

Ia sebenarnya berfungsi sebagai kawasan perlindungan dan pusat pembelajaran serta kajian khazanah alam negara.

Malah, ia menempatkan kira-kira 700 spesies tumbuhan daripada benua berbeza di atas tanah berkeluasan 92 hektar.

Makan angin

Kawasan yang luas dan memiliki landskap yang menarik menjadikan taman ini sangat sesuai untuk bersiar-siar bersama keluarga.

Anda boleh memilih sama ada untuk berjalan kaki, berjoging ataupun berbasikal.

Tetapi bagi mereka yang ada anak kecil, berjalan kaki untuk meneroka keseluruhan kawasan tanaman bukanlah pilihan yang sesuai.

Jangan bimbang, jika anda tidak membawa basikal sendiri, anda boleh menyewanya pada kadar serendah RM8 sejam.

Untuk pengalaman yang lebih menarik, pengunjung juga boleh menaiki buggy atau tram yang disediakan.

Tambah ilmu

Bagi mereka yang menggemari tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan, inilah tempatnya untuk menambah ilmu pengetahuan anda.

Bayangkan, beratus-ratus spesies tumbuhan dari seluruh dunia ada di taman ini.

Menariknya, setiap daripada pokok yang ditanam itu disertakan dengan maklumat saintifik.

Tujuannya jelas iaitu bagi memudahkan pengunjung untuk mengenal asal usul pokok dan tumbuhan itu.

Kesemua pokok, tumbuhan dan bunga tersebut ada di dalam taman ini yang dibahagikan mengikut taman-taman bertema yang terdapat sebanyak 13 bahagian kesemuanya.

Antara taman tema itu adalah tanaman Afrika, tanaman Amerika Tropika, tanaman Asia Pasifik, terowong bunga kertas dan paku pakis.

Bergambar

Taman Botani Putrajaya juga merupakan lokasi yang sangat sesuai untuk mereka yang suka bergambar.

Bagi yang mempunyai hobi berfoto, di sinilah tempatnya untuk anda memantapkan kemahiran bergambar anda.

Landskap yang pelbagai sangat tentu mempesonakan malah bagi pasangan pengantin, sangat digalakkan untuk mengabadikan gambar kenangan perkahwinan anda di sini.

Di taman ini juga terdapat satu lagi tarikan, iaitu Astaka Morocco yang menawarkan keindahan seni bina dan ukiran Islamik pada replika istana Morocco yang dipamerkan di sana.

Khabarnya, ada bayaran yang dikenakan untuk pengunjung yang ingin bergambar di Astaka Morocco.

Berkelah di pinggiran tasik

Berkelah di tepi sungai dan pantai sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat di negara ini.

Anda boleh mengalami suasana baharu dengan berkelah di tepi tasik di Taman Botani Putrajaya.

Gambar: Facebook Taman Botani Putrajaya

Nikmati pula hembusan angin yang mendamaikan dari tasik dan pada masa sama, anda boleh melakukan aktiviti-aktiviti sampingan lain.

Anak-anak juga boleh berlari sepuas-puasnya di lapangan hijau yang luas selain memberi makanan kepada ikan-ikan yang ada di dalam tasik.

Sudah tentu semua kegiatan itu menyeronokkan!

Ringkasnya, tempoh sehari memang tidak cukup untuk meneroka seluruh kawasan Taman Botani Putrajaya.

Keindahan dan ketenangan yang ada pasti menggamit pengunjung untuk kembali ke sana.

Diiktiraf sebagai antara 40 taman tercantik di Asia, Taman Botani Putrajaya ini pasti akan meninggalkan kenangan indah untuk mereka yang pernah mengunjunginya.

Ia juga tempat terbaik untuk membina hubungan kekeluargaan dan tidak perlu kos yang besar.

Memanglah tak perlu keluar duit yang banyak sebab masuk pun percuma!

Artikel ini ditulis oleh Badrul Hafizan Mat Isa dan disunting oleh Hussaini Amran.

Artikel-artikel lain:

Wilayah Persekutuan harus lebih mesra masyarakat bandar

Hot air balloons floating over Putrajaya this March