Categories
Community Lifestyle Malaysia Malaysian

Gotong-royong lebih syok bila 5 spesies ini ada

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, maksud gotong-royong adalah “sama-sama mengerjakan sesuatu atau saling membantu ketika membuat sesuatu”.

Ramai yang menganggap aktiviti bergotong-royong dalam kalangan masyarakat masa kini semakin kurang diberikan perhatian malah semakin jarang dilihat.

Pendapat itu tidak salah kerana masyarakat kini semakin sibuk dengan urusan seharian masing-masing.

Jadi, hujung minggu dan cuti umum yang ada mereka rasa perlu digunakan untuk berehat dan mengisi waktu dengan keluarga berbanding bersama jiran tetangga.

Walaupun aktiviti kemasyarakatan ini dilihat semakin pudar, tidak dapat dinafikan masih terdapat kawasan kejiranan terutamanya kawasan perumahan di bandar yang masih menjalankan aktiviti gotong-royong.

Bagi mereka, ini sahajalah peluang untuk mengeratkan perhubungan antara jiran selain memperkukuhkan perpaduan terutamanya yang berlainan bangsa dan agama.

Gotong-royong tidaklah terhad kepada aktiviti kebersihan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat tinggal sahaja.

Asalkan ia dilakukan bersama-sama, itu boleh dianggap sebagai aktiviti bergotong-royong, termasuklah memasak semasa majlis kenduri, menganjurkan majlis keramaian serta ibadat korban.

Aktiviti bergotong-royong ni memang menyeronokkan kerana dalam masa yang ada itulah kita boleh berjumpa jiran tertangga, berbual dan bertanya khabar antara satu sama lain.

Yang lebih seronok tentulah golongan wanita, isteri dan ibu yang memanfaatkan aktiviti gotong-royong untuk ‘membawang’.

Bila berkumpul ramai-ramai, kita boleh perhatikan macam-macam ragam dan perangai.

Ada yang boleh dijadikan bahan lawak dan tidak kurang juga yang menyakitkan hati. Oleh itu, kesabaran yang tinggi daripada yang lain dituntut, bimbang tujuan asal untuk mengeratkan persaudaraan tetapi akhirnya ada yang bermasam muka.

Mari kita lihat lima jenis perangai dan golongan mereka yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong yang seringkali kita lihat.

Orang kuat

Golongan ini kebiasaannya digelar sebagai ‘orang kuat’ taman. Dalam apa juga acara gotong-royong, muka-muka mereka ini selalu di hadapan. Selalunya orang lelaki lah.

Pisau dan parang selalu menjadi teman karib mereka. Kalau aktiviti tebas menebas serahkan sahaja kepada mereka.

Kalau semasa aktiviti korban, mereka juga yang selalu melapah daging-daging.

Sama juga kalau dalam kenduri kendara, mereka juga yang memasak dan tukang basuh periuk dan pinggan.

Namun mereka ini ada kelemahan. Kalau tak ada rokok, kerja tak jalan. Boleh lemah dan lemau satu badan. Itu kata mereka lah.

Selalunya mereka juga sukakan aktiviti berkebun. Cuba tengok di luar rumah mereka, mesti banyak pokok buah, paling tidak pun pokok daun kari, kunyit atau bunga kertas. Apa? Ingat orang lelaki tak suka tanam bunga?

Mandur

Mereka memang pandai memberi arahan sahaja. Bukan mereka tak menghulurkan bantuan, tetapi sikit-sikit, peluh pun tak keluar.

Apa yang banyak keluar adalah arahan dari mulut. Nak marah pun tak boleh sebab biasanya golongan ini mereka yang sudah otai, ataupun sudah berusia.

Alasan mereka, “biarlah yang muda-muda buat” tetapi selalunya tak ramai golongan muda belia yang mahu turut serta jadi siapa lagi yang mahu buat kerja?

Mahu tak mahu, dengar sahajalah arahan pakcik-pakcik mandur, nanti melawan di katakan tidak hormat orang tua pula. Tak apalah, mereka yang dulu makan garam.

Wartawan sambilan

Dalam zaman media sosial ketika ini bertambah satu lagi golongan dan perangai masyarakat yang selalu kita lihat dalam gotong-royong.

Telefon tak lepas dari tangan, setiap detik acara semuanya dirakam dengan telefon pintar. Sebab itu mereka digelar wartawan sambilan kampung atau taman.

Gambar-gambar itu nanti dengan pantas akan dimuat naik dalam laman sosial peribadi selepas dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp penduduk terlebih dahulu.

Apabila sibuk mengambil gambar, mereka ini memang jaranglah hendak pegang cangkul atau penyapu mahupun plastik sampah.

Kadang-kadang ada juga kebaikan golongan seperti ini, sekurang-kurangnya kenangan bergotong-royong boleh disimpan untuk masa hadapan.

Biskut Chipsmore

Ingat tak iklan biskut Chipsmore? Sekejap ada, sekejap tak ada. Spesies ini juga muncul dalam kejiranan kita semasa aktiviti gotong-royong.

Pada awal acara, muka mereka memang ada, bersemangat, tetapi kita boleh perhatikan lebih awal, mereka datang tanpa membawa apa-apa peralatan. Datang bawa perut sahaja.

Mereka akan berdiri jauh-jauh daripada yang lain. Sebab apa? nanti mudah bila mereka nak balik rumah. Yalah, rumah bukan jauh sangat pun.

Tetapi yang peliknya, selepas gotong-royong selesai mereka akan muncul semula. Biasalah, selalunya ada makan minum atau acara cabutan nombor bertuah. Kalau nombor naik, dapatlah hamper.

Asalkan tunjuk muka

Golongan ini sukar diduga perangai dan sikap mereka. Kehadiran mereka juga sukar dijangka, sama ada akan datang pada awal, pertengahan atau akhir acara.

Biasanya juga mereka ini terdiri daripada mereka yang dipaksa hadir, sama ada oleh ibu bapa atau isteri tercinta.

Gambar: Crosswalk.com

“Pergilah bang, tunjuk muka sikit, bergaullah dengan jiran-jiran jangan duduk rumah je,” omel si isteri.

Kalau kita dapat tengok, golongan ini muka mereka masam mencuka. Kalau senyum pun seperti dibuat-buat sahaja. Lantaklah, asalkan tunjuk muka.

Anda pula masuk dalam golongan peserta gotong-royong yang mana?

(Artikel ini ditulis oleh Badrul Hafizan Mat Isa dan disunting oleh Hussaini Amran)

Artikel menarik

5 pantang larang hidup berjiran