Categories
Analysis Community Malaysia Malaysian Public Transport Urban

Wilayah Persekutuan harus lebih mesra masyarakat bandar

Tempoh bacaan: 6 minit

1 Februari setiap tahun merupakan tarikh yang selalu diingati warga Wilayah Persekutuan.

Bagi kebanyakan daripada mereka, 1 Februari adalah cuti umum di mana mereka boleh berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

Namun, tidak ramai yang mengetahui mengapa Hari Wilayah Persekutuan ditetapkan pada tarikh 1 Februari.

Tarikh berkenaan adalah bersempena pembentukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dan Wilayah Persekutuan pertama pada 1 Februari 1974.

Kuala Lumpur sebelum itu merupakan sebahagian daripada negeri Selangor.

10 tahun kemudian, Labuan yang pada awalnya sebahagian daripada pentadbiran Sabah pula diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan.

Putrajaya yang dijadikan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 2001.

Ketiga-tiga wilayah ini dikawal selia Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan ditadbir pula oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya.

Wilayah Persekutuan

Mengimbas kembali, landskap Kuala Lumpur yang bermula sebagai kawasan perlombongan bijih timah kini berubah dengan pelbagai pembangunan fizikal dan ekonomi.

Bangunan pencakar langit dapat dilihat merata-rata dengan prasarana pengangkutan, pendidikan, pusat perniagaan, pelancongan semuanya ada di sana.

Sesuailah dengan statusnya sebagai sebagai ibu negara dan bandaraya metropolitan yang menjadi tumpuan orang ramai dari dalam dan luar negara.

Bagi Labuan pula, kawasan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai Sabah itu dahulunya merupakan kawasan yang terpinggir dari arus pembangunan.

Setelah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan, Labuan mula menjadi antara destinasi utama pilihan pelabur asing.

Ia berlaku terutama selepas ia diiktiraf sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa atau IOFC pada Oktober 1990.

Labuan juga diiktiraf sebagai pulau bebas cukai sejak 1956.

Bagi Putrajaya pula, ia mula menjadi pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan pada 1999 bagi menggantikan Kuala Lumpur.

Daripada sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, Putrajaya yang terletak 25 kilometer di Selatan Kuala Lumpur telah menjadi sebuah bandar terancang, pintar dan dikelilingi taman.

Selepas 16 tahun Hari Wilayah Persekutuan diraikan, pelbagai perkara dilihat masih perlu diberikan tumpuan.

Terutamanya bagi menjayakan matlamat mewujudkan Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur yang lebih mesra masyarakat bandar.

Pengangkutan awam

Kesesakan lalu lintas ekoran kepadatan pembangunan di sekitar Kuala Lumpur antara masalah utama yang membelenggu kehidupan warga kota.

Ia dilihat hanya boleh diatasi menerusi perubahan besar dalam sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.

Kesesakan lalu lintas berlaku ekoran banyaknya jumlah kenderaan persendirian di atas jalan raya.

Bayangkan, terperangkap dalam kesesakan lebih satu jam seperti sudah menjadi kebiasaan walaupun jarak antara rumah dan tempat kerja tidaklah sejauh mana.

Sehubungan itu, satu langkah mesti diambil terutama oleh kerajaan bagi memberi jaminan kepada orang ramai bahawa memilih penggunaan pengangkutan awam adalah lebih ‘berbaloi’ buat mereka sama ada daripada segi masa dan wang berbanding menggunakan kenderaan sendiri.

Jadi, perlulah dipastikan bahawa pengangkutan awam seperti perkhidmatan rel, LRT, komuter dan MRT selain bas lebih luas capaiannya malah lebih berpatutan dan murah.

Perkhidmatan bas percuma GO KL merupakan satu inisiatif yang cukup baik, meluaskan lagi laluannya sudah tentu akan memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk.

Masalah pengangkutan awam juga berlaku di Putrajaya terutamanya bas, di mana aduan tersebut telah banyak kali didengar.

Akibat daripada masalah berkenaan, bilangan kenderaan persendirian semakin bertambah dan seterusnya berlaku masalah parkir terutama di kawasan pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan.

Kawalan pembangunan

Apabila sesuatu kawasan telah menjadi tumpuan orang ramai, pembangunan yang dijalankan bagi melengkapkan keperluan penduduk sudah tentu amat dialu-alukan.

Namun begitu, pembangunan yang berterusan memerlukan kawal selia bagi mengelak setiap pembangunan itu mendatangkan masalah pula kepada penduduk.

Pembangunan terancang seperti pembinaan kawasan-kawasan perumahan dan kompleks beli-belah baharu perlu dilakukan, supaya tidak menambahkan kesesakan di ibu kota khususnya Kuala Lumpur.

Ada di sesetengah tempat, pembangunan kediaman adalah melebihi daripada permintaan, manakala ada pula pembangunan baharu tidak mengambil kira isu kekurangan tempat letak kenderaan kenderaan.

Perparitan, takungan banjir

Banjir kilat yang sering berlaku merupakan antara masalah yang masih gagal diselesaikan di Kuala Lumpur.

Hujan lebat berterusan di ibu kota acap kali menjadi mimpi buruk, jalan-jalan akan dinaiki air, kesesakan berlaku, malah ada pula kenderaan yang rosak akibat terperangkap dalam banjir.

Sebahagian besarnya berpunca daripada masalah sistem perparitan yang tidak sempurna, tidak diselenggara dengan baik.

Malah, pakar hidrologi persekitaran, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman pernah dilaporkan berkata, Kuala Lumpur memerlukan lebih banyak sistem takungan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku, terutamanya ketika musim hujan lebat.

Sistem takungan banjir itu katanya, amat diperlukan di kawasan-kawasan berhampiran hilir Sungai Klang seperti Sungai Buloh, Shah Alam dan Petaling Jaya.

Beliau berkata, setakat ini di ibu kota, hanya terdapat satu sistem takungan banjir di lembangan Sungai Klang yang menyalurkan air kepada sekurang-kurangnya tujuh kolam takungan.

Kawasan hijau, taman rekreasi

Bagi memastikan kelestarian bandar raya seperti Kuala Lumpur yang dihimpit dengan pelbagai pembangunan, penyediaan kawasan hijau yang cukup untuk masyarakat bandar perlu diberi perhatian.

Bertambahnya kenderaan, jalan raya dan kawasan pembangunan perumahan, kediaman dan komersial mengakibatkan berlakunya peningkatan suhu bandar raya Kuala Lumpur.

Gambar: Mohd Noor Mat Amin / Kosmo!

Sehubungan itu, kawasan hijau sedia ada perlu dikekalkan bagi mengimbangi peningkatan suhu dan penambahan pokok dan kawasan hijau perlu dilakukan bagi membantu pengurusan kepulauan haba di bandar raya.

Taman-taman rekreasi juga perlu ditambah bagi menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Pembangunan taman-taman rekreasi, lapang dan hijau penting ketika kesedaran mengenai aspek kesihatan, riadah amat diberikan tumpuan oleh orang ramai.

Hari ini, masa yang berkualiti bersama keluarga tidak lagi boleh dilihat hanya di pusat beli belah.

Putrajaya sebagai sebuah bandar terancang, dilihat tidak mengalami masalah ini, malah dapat dilihat kawasan tersebut sering menjadi pilihan terutama pada waktu hujung minggu untuk orang ramai beriadah, berbasikal ataupun berjoging.

Mereka yang datang itu, tidak hanya dari dalam kawasan Putrajaya malah dari kawasan lain, tetapi mereka sanggup datang kerana banyaknya kawasan riadah di Putrajaya yang menarik dan selesa.

Pusat tumpuan pelancong

Pelancongan merupakan antara bidang yang meningkatkan ekonomi sesuatu kawasan.

Peningkatan jumlah pelancong, tentunya memberikan kesan positif kepada aspek ekonomi dan limpahannya pasti akan dirasai oleh penduduk.

Peluang-peluang pekerjaan juga akan bertambah dan perkara itu perlu diberikan perhatian dalam pembangunan pulau Labuan.

Berbanding Langkawi, Labuan dilihat jarang menjadi pilihan oleh pelancong sama ada dari dalam dan luar negara meskipun Labuan mempunyai pantai dan pulau yang boleh menjadi tempat tarikan pelancong.

Promosi berterusan dilihat antara aspek yang perlu dilakukan dan dipertingkatkan demi merancakkan sektor pelancongan di Labuan.

Lima perkara di atas merupakan sebahagian daripada cadangan yang dilihat mampu menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan yang menawarkan kehidupan berkualiti kepada penduduknya.

Banyak lagi aspek yang dilihat boleh ditambah baik dan diberikan perhatian seperti kebersihan, pengurusan sisa pepejal dan kualiti jalan raya.

Semua perkara yang dicadangkan itu memerlukan penglibatan langsung oleh orang awam.

Tanpa kerjasama daripada masyarakat, lakukanlah perubahan besar dalam setiap aspek sekali pun, ia tidak akan mencapai objektif sebaliknya masih di takuk lama dan menjadi sia-sia.

RED ANGPOW juga bersedia menawarkan kepakaran kepada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan dari segi penyediaan data dan analisis yang membantu usaha mewujudkan Wilayah Persekutuan yang lestari, mapan dan mesra penduduk.

Artikel ini ditulis oleh Badrul Hafizan Mat Isa dan disunting oleh Hussaini Amran.

Artikel-artikel lain:

5 Pantang Larang Hidup Berjiran

Gotong-royong lebih syok bila 5 spesies ini ada