Categories
House Lifestyle Malaysian Urban

5 Pantang Larang Hidup Berjiran

Jiran-jiran kita mempunyai pelbagai ragam dan ada dalam kalangan mereka yang perangainya kadangkala mencabar kesabaran kita.

Namun, kita terpaksa menerima hakikat bahawa kita tiada pilihan selain terpaksa hidup dengan mereka kecuali kalau kita berpindah atau tinggal di rumah yang jaraknya agak jauh daripada jiran-jiran.

Cara yang terbaik untuk mewujudkan suasana kejiranan yang tenteram dan harmoni adalah dengan memastikan kita sendiri menjadi jiran yang baik.

Untuk mencapai tujuan itu, hindarkan sifat-sifat buruk ini agar tidak menyinggung perasaan jiran tetangga kita dan mengeruhkan hubungan dengan mereka.

Bising seperti ayam riuh sekampung
Gambar: Engin Akyurt / Pexels

Ada segelintir jiran kita yang mempunyai kesukaran mengawal suara mereka yang agak kuat semasa berbual dengan ahli keluarga di dalam rumah.

Itu belum ditambah dengan jiran yang suka memainkan muzik atau berhibur dengan karaoke dengan menguatkan tahap bunyi sistem suara sehingga membingitkan telinga jiran-jiran terdekat.

Kalau suara merdu tidak mengapa juga. Malangnya ramai yang perasan suara mereka bak buluh perindu sedangkan bunyinya tidak ubah seperti itik berkuek.

Jagalah hati jiran-jiran dengan tidak membuat bunyi yang bising kerana mereka mungkin ingin berehat di rumah dalam suasana yang tenteram setelah kepenatan bekerja selama lima hari lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai anak yang masih bayi.

Lagipun, tidak perlulah jiran mengetahui setiap butiran yang kita bualkan bersama ahli keluarga kerana mungkin ada perkara mungkin kurang manis kalau diketahui orang lain.

Letak kereta di depan rumah jiran
Gambar: Stephan Müller/Pexels

Masalah ini sering berlaku semasa musim perayaan atau kenduri-kendara di mana ruang untuk meletak kereta agak terhad.

Anak-anak atau saudara-mara yang datang berkunjung mengambil jalan mudah dengan meletakkan kereta mereka di depan rumah jiran.

Memang menyusahkan apabila kereta jiran tidak dapat keluar atau masuk gara-gara sikap mereka yang mementingkan diri sendiri itu.

Bertimbang rasalah dengan jiran yang mungkin terlewat ke tempat kerja disebabkan oleh perbuatan kita atau kaum keluarga meletakkan kereta sehingga menyekat laluan keluar mereka.

Jika tiada pilihan, mintalah izin dahulu dengan tuan rumah kerana dia mungkin perlu bertugas pada musim perayaan atau semasa cuti umum.

Ranting pokok atau bunga menceroboh laman rumah sebelah

Amalan berkebun memang satu perkara yang baik dan boleh menjadikan laman kita lebih berseri dengan bunga-bunga yang mekar dan indah pada pandangan mata.

Pokok-pokok yang ditanam pula boleh dinikmati hasilnya apabila berbuah dan sudah tentu kita berasa puas memakan buah-buahan yang kita tanam sendiri.

Cuma, kadang-kadang kita tidak perasan ranting pokok atau bunga menjulur sehingga menyebabkan daun-daun berguguran memasuki laman jiran.

Sebaik-baiknya, kita pastikan ranting pokok atau bunga yang ditanam itu hanya berada dalam kawasan laman kita sendiri.

Sekiranya jiran mengambil inisiatif mencantas ranting yang memasuki kawasan rumahnya, ucapkan terima kasih kerana dia telah membantu melakukan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh kita.

Membuang sampah di depan rumah orang
Gambar: Daria Shevtsova/Pexels

Perangai buruk ini sering dilakukan oleh mereka yang merokok. Akibat sudah terbiasa, mereka dengan selamba membuang puntung rokok ke dalam longkang di depan rumah jiran.

Selain itu, anak-anak jiran yang masih kecil gemar meninggalkan plastik makanan ringan di atas jalan di depan rumah kita.

Memang menyakitkan hati apabila terpaksa membersihkan sampah-sarap yang ‘dihadiahkan’ oleh jiran-jiran yang tidak mempunyai kesedaran sivik.

Biasakan diri membuang puntung rokok ke dalam bekas habuk rokok atau lebih baik lagi, hentikan sahaja amalan yang tidak sihat itu.

Didik anak-anak agar lebih menghargai alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata.

Mengumpat keburukan orang lain
Gambar: Tophee Marquez/Pexels

Jiran spesies ini masih lagi wujud walapun dalam era kepesatan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi pada masa ini.

Mungkin makhluk-makhluk yang mempunyai hobi ini berasa gelisah setiap kali mempunyai maklumat tentang jiran-jiran mereka sehingga menyebabkan mereka keluar mencari ‘mangsa’ untuk dijadikan lawan mengumpat.

Yang tidak baiknya, apa yang disampaikan itu tidak semuanya betul dan lebih banyak ditokok tambah secukup rasa semata-mata untuk menyedapkan jalan cerita.

Buanglah jauh-jauh sikap suka mengumpat yang bukan sahaja tidak berfaedah dan membuang masa malah boleh mengeruhkan hubungan dengan jiran-jiran.

Lihatlah keluarga kita sendiri yang ada juga cacat celanya. Berusahalah memperbaiki kelemahan itu dan bukannya memperlekehkan jiran untuk membuatkan seolah-olah kita lebih baik daripada mereka.

Akhir kata, berbuat baiklah selalu dengan jiran-jiran kita dan amalkan perbuatan murni seperti bertegur sapa dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kita tidak tahu jiran yang selalu dipandang sebelah mata itu mungkin menjadi orang pertama yang menghulurkan tangan apabila kita ditimpa kesusahan.