Categories
Dining Elite Food Lifestyle Malaysian Uncategorized Urban

Pesta Bakar FriedChillies Putrajaya memang menggiurkan

Gambar: FriedChillies

Mengidam nak makan rusa panggang, ayam golek madu, kambing bakar, ikan bakar dan itik bakar?

Datanglah beramai-ramai ke Pesta Bakar FriedChillies yang julung-julung kali dianjurkan di Suasana PJH, Putrajaya pada 28 dan 29 Disember ini.

Yang menariknya, Pesta Bakar FriedChillies menampilkan lima juadah bakar dan panggang terbaik sepanjang ia berlangsung mulai pukul 3 petang hingga 10 malam.

Mari kita tengok apa yang ada di sana:

Ayam Golek Madu Bunohan, Kuantan
Gambar: FriedChillies

Siapa yang tak terliur bila melihat ayam golek segar yang dipanggang di atas api arang yang membahang. Walaupun dipanggang untuk tempoh yang agak lama, kulit ayam tidak kering.

Rahsianya terletak pada resipi sos perap istimewa yang menggunakan serai dan kunyit, menjadikan kulit ayam sentiasa lembab dan memelihara teksturnya.

Daging ayam yang lembut dan manis juga masak sampai ke dalam. Tak perlu lagi datang Kuantan beb, datang saja ke Pesta Bakar FriedChillies.

Beard Brother BBQ, Tropicana
Gambar: FriedChillies

Mesti ramai yang gemar makan daging bakar Beard Brother BBQ. Dengan dapur salai khas dari Australia dan direka mereka sendiri, sajian yang disediakan oleh Beard Brother BBQ memang lain dari yang lain keenakannya.

Lebih menarik, mereka juga bermurah hati menyediakan sedikit daging bakar untuk orang ramai yang ingin rasa-rasa dulu.

Datang awal, bro. Kalau lambat, gerenti habis. Memang terangkat!

Rusa Panggang & Kambing Bakar Libing Lejen, KL
Gambar: FriedChillies

Daging rusa panggang yang banyak airnya memang menggiurkan kepada sesiapa yang memandang. Lagi-lagi kalau dipanggang oleh geng-geng Libing Lejen.

Biasanya, mereka ada semasa kenduri kahwin. Itu pun kalau dapat kontrak daripada keluarga pengantin.

Tapi tak payah susah-susah pergi kenduri kahwin pada 28 dan 28 Disember ini sebab geng Libing Lejen ada di Pesta Bakar FriedChillies.

Itik Bakar Gembo, Shah Alam

Bunyi macam lagu Itik Gembo Gembo yang pernah dipopularkan oleh kumpulan A to Z pulak. Apa makna gembo tu?

Kalau tak tahu pun tak apa. Yang penting, itik bakar gembo memang terkenal dengan kemantopannya.

Itiik yang dibakar dengan rempah ratus Melayu memang sedap dimakan dengan nasi panas. Lagi-lagi kalau dicicah dengan sos cili istimewa.

Fuh! Memang terliur bila dibayangkan itik bakar gembo yang terhidang depan mata.

Ikan Bakar Seri Melaka, Jalan Bellamy
Gambar: FriedChillies

Siapa yang rajin datang makan ikan bakar di sini memang tahu masakannya memang tip-top. Beratur panjang pun tak apa, asalkan dapat makan ikan pari bakar.

Khabarnya mereka hanya guna ikan pari jantan sebab rasanya dikatakan lebih sedap. Tetapi, macam mana nak bezakan pari jantan atau betina?

Tambah pulak dengan sos perap istimewa, bungkus dengan daun pisang kemudian dibakar atas kuali leper yang besar.

Kalau dah lebih 30 tahun meniaga pun masih ramai orang datang ke kedai Ikan Bakar Seri Melaka, sudah tentu rasanya sehingga menjilat jari!

Gambar: FriedChillies

Sudah terkecur air liur? Tandakan dalam kalendar telefon siap-siap. Bawa sekali keluarga dan kawan-kawan datang Pesta Bakar FriedChillies.

Datang satu batalion pun tak apa. Lagi ramai, lagi meriah.

Sumber: FriedChillies (http://www.friedchillies.com/articles/detail/top-5-bbq-bakar-panggang-meats-in-town)