Categories
Community Lifestyle Malaysia Malaysian

Membakar mercun jangan sampai putus jari, buta mata

Tempoh bacaan: 3 minit

Tradisi membakar mercun menang sinonim dengan perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut oleh masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Malah, amalan itu turut ditiru oleh kaum-kaum lain di negara ini seperti semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Mengapa orang Cina bakar mercun?

Selain sebagai tanda permulaan Tahun Baharu, masyarakat Cina percaya amalan membakar mercun dapat menghalau dan menakutkan roh-roh jahat dan hantu serta mengelakkan nasib malang.

Bagi mereka, bunyi mercun yang kuat akan menghalau segala nasib malang, menolak bala serta menghalau roh dan semangat jahat keluar dari kawasan rumah.

Selesai membakar mercun, mereka berharap segala tuah pula akan datang dengan melimpah-ruah.

Bagi orang Melayu dan India pula, kegiatan membakar mercun dilakukan hanya sekadar untuk menambah keceriaan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Cuma agak hairan apabila melihat tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan akibat membakar mercun semasa Tahun Baharu Cina, berbeza dengan tragedi yang kita sering dengar menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Seterusnya, mari kita lihat sebab-sebab mengapa kemalangan berkaitan mercun sering melibatkan orang Melayu.

Terlebih ‘kreatif’

Kes kecederaan serius seperti putus jari, buta mata akibat bermain mercun buatan sendiri bukanlah perkara baharu.

Saban tahun pasti kes serupa dilaporkan dan kebiasaan mangsa-mangsa dalam kemalangan tersebut adalah kanak-kanak Melayu.

Tak dapat dinafikan, mereka cukup ‘kreatif’ dalam hal-hal begini.

Ada yang memasukkan mercun ke dalam tin dan botol, semata-mata mahu bunyi yang lebih kuat, lebih kuat lebih seronok bagi mereka.

Perbuatan mengubah suai mercun mengikut cita rasa sendiri itu sangat berbahaya kerana serbuk belerang yang dimampatkan boleh meletup jika dimampatkan dengan tidak mengikut prosedur yang selamat.

Golongan muda Cina kurang main mercun

Rakan penulis yang berketurunan Cina pernah memberitahu, anak-anak muda dan remaja kaum itu kini jarang bermain mercun terutamanya mereka yang tinggal di bandar.

Katanya, kegiatan bermain mercun hanya terhad untuk perayaan dan majlis tertentu seperti Tahun Baharu Cina.

Mereka pun cuma bermain mercun papan dan beberapa jenis mercun lain.

Bakar mercun buatan sendiri? Tidak sama sekali.

Berbeza pula dengan orang Melayu yang bermain mercun mulai awal Ramadan sehingga Syawal berakhir.

Tempoh yang panjang itu mendedahkan mereka kepada risiko mengalami kemalangan yang lebih besar semasa membakar mercun.

Kurang pemantauan

Memang selalu kita lihat kanak-kanak Melayu lebih-lebih lagi di kawasan kampung bebas bermain mercun tanpa dipantau oleh orang dewasa.

Golongan remaja Melayu pula kebiasaannya memilih untuk membakar mercun di lokasi yang agak jauh dari rumah mereka.

Keadaan ini boleh mengundang padah kerana kanak-kanak dan remaja lebih cenderung mencari keseronokan tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka.

Gambar: Utusan Online

Oleh itu, awasi pergerakan anak-anak dan bertegaslah dengan mereka agar bukan kita yang menangis kemudian.

Jiran sekampung juga perlu bersikap ambil peduli dalam hal ini dengan menegur atau sekurang-kurangnya memberitahu ibu bapa remaja dan kanak-kanak terbabit.

Mudah dapat bekalan mercun

Kebiasaannya, kejadian kemalangan akibat bermain mercun sering dilaporkan di negeri-negeri pantai timur dan utara berikutan lokasinya yang berhampiran dengan negara jiran.

Bekalan mercun yang mudah didapati di negeri-negeri tersebut menyebabkan kanak-kanak dan remaja yang majoritinya berbangsa Melayu lebih terdedah dengan risiko kecederaan akibat bermain mercun dan bunga api.

Memang kurang meriah musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina tanpa dentuman mercun dan percikan bunga api.

bakar mercun
Gambar: Perak Today

Tetapi undang-undang mesti dipatuhi dan harus diingat, bermain mercun dan bunga api masih lagi dilarang di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Namun mengikut maklumat terkini yang dilaporkan media, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kelulusan bagi 44 jenis bunga api jenis ‘Happy Boom’ dan ‘Pop Pop’ untuk dijual secara umum.

Supaya tidak menimbulkan kacau ganggu terhadap orang lain, tempoh bermain mercun dihadkan sehingga pukul 12 tengah malam dan hanya boleh dilakukan di kawasan lapang dan selamat.

Bak kata pepatah, malang memang tidak berbau justeru amatlah wajar kita mengambil pendekatan berhati-hati dalam setiap perbuatan lebih-lebih lagi dalam soal membakar mercun.

Utamakan keselamatan dan sayangilah satu-satunya nyawa yang kita ada.

(Artikel ini ditulis oleh Badrul Hafizan Mat Isa dan disunting oleh Hussaini Amran)

Artikel-artikel lain:

Gotong-royong lebih syok bila 5 spesies ini ada

5 pantang larang hidup berjiran

© Red Angpow Sdn Bhd