Categories
Community House Malaysia Malaysian Property Urban

Rumah mampu milik untuk warga Wilayah Persekutuan

Tempoh bacaan: 2.5 minit

Anda lahir atau tinggal di Wilayah Persekutuan? Masih belum mempunyai rumah sendiri? Jangan bimbang.

Ini kerana, projek perumahan Residensi Wilayah menyediakan rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama, khusus buat warga Wilayah Persekutuan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Residensi Wilayah

Tak pernah dengar pun, projek baharu ke?

Sebenarnya, inisiatif oleh Kementerian Wilayah Persekutuan ini merupakan penjenamaan semula projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

Selepas penjenamaan semula, segala urusan berkaitan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan tidak lagi menggunakan jenama RUMAWIP.

rumah mampu milik
Residensi Akasia Jubilee, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Gambar: Residensi Wilayah

Selesa dan berkualiti

Menurut laman sesawang Residensi Wilayah, program ini diwujudkan bagi menyediakan rumah yang selesa lagi berkualiti serta mampu dimiliki warga Wilayah Persekutuan.

Ia selepas mengambil kira harga rumah yang tinggi pada masa kini yang menyebabkan warga kota terutama daripada golongan berpendapatan sederhana sukar untuk membeli dan memiliki rumah sendiri.

Mampu milik

Dengan slogan “Residensi Wilayah Residensiku” projek perumahan ini menyediakan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan dengan harga jualan sehingga RM300,000 seunit.

Dalam tempoh sepuluh tahun iaitu bermula 2019 hingga 2028, sebanyak 80,000 unit rumah Residensi Wilayah disasar untuk dibina.

Jumlah itu juga selaras dengan sasaran kerajaan untuk merealisasikan pembinaan sebanyak sejuta rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun.

Syarat-syarat kelayakan

Untuk membeli rumah Residensi Wilayah ini, syarat utama kepada pemohon sudah tentulah seorang warganegara Malaysia.

Berusia 21 tahun ke atas, pemohon juga mestilah dilahirkan, menetap ataupun bekerja di Wilayah Persekutuan.

Bagi memastikan inisiatif ini sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, pemohon projek perumahan ini juga mestilah mempunyai pendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000 (bujang) dan RM15,000 (berkahwin).

rumah mampu milik
Apartmen Lili Petaling, Seputeh, Kuala Lumpur. Gambar: Residensi Wilayah

Jenis rumah

Projek perumahan Residensi Wilayah ini menawarkan rumah yang mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur, ruang tamu, ruang makan serta jenis rumah berstrata.

Saiz rumah yang tidak kurang daripada daripada 900 kaki selain satu tempat letak kereta berbumbung.

Kemudahan-kemudahan awam dan keperluan sosial yang lengkap juga disediakan di bawah projek perumahan Residensi Wilayah untuk mewujudkan persekitaran berdaya huni yang kondusif.

Kemudahan awam yang wajib dan menjadi syarat penyediaan kepada pemaju antaranya seperti surau dan bilik solat, dewan serbaguna atau bilik mesyuarat, pejabat pengurusan, taska dan tadika, kedai dan gerai komuniti serta perpustakaan.

Cara memohon

Permohonan bagi Residensi Wilayah boleh dibuat secara dalam talian di sini.

Pemohon perlu memastikan alamat emel adalah tepat kerana semua notifikasi akan dihantar melalui emel.

Tiada ejen

Oleh kerana permohonan untuk membeli rumah Residensi Wilayah hanya boleh dilakukan secara dalam talian, Kementerian Wilayah Persekutuan mengesahkan tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai ejen untuk permohonan projek perumahan berkenaan.

Segala urusan permohonan, termasuk urusan surat-menyurat, adalah melalui janaan sistem dan secara dalam talian.

Residensi Armani Petaling, Cheras, Kuala Lumpur. Gambar: Residensi Wilayah

Iklan palsu

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan iklan palsu berhubung tawaran projek RUMAWIP.

Pihak yang tidak bertanggungjawab didakwa menggunakan logo Kementerian Wilayah Persekutuan dan RUMAWIP untuk mengelirukan pembeli.

Malah, mereka menggunakan kepala surat palsu yang ditandatangani ‘pegawai’ yang sebenarnya tidak wujud. – RED ANGPOW

Artikel ini ditulis oleh Badrul Hafizan Mat Isa dan disunting oleh Hussaini Amran.

Artikel-artikel lain

Sejuk mata memandang di Taman Botani Putrajaya

Gotong-royong lebih syok bila 5 spesies ini ada